Pengenalan

Bahasa Badan atau Body Language merupakan satu bidang ilmu yang sangat berfeadah untuk dipelajari. Jika kita berkomunikasi mengunakan kata-kata, maka bahasa badan pula berkomunikasi melalui perantaraan badan itu sendiri. Untuk skop yang lebih luas, bahasa badan bukan sahaja meliputi corak pergerakan atau kedudukan angota badan seperti tangan, kaki dan sebagainya tetapi ianya juga melibatkan suara, pergerakan nafas dan sebagainya. 

Kenapa ilmu bahasa badan penting? Ini kerana bahasa badan lebih jujur dan lebih dipercayai daripada bahasa lisan/kata-kata. Orang boleh berbohong atau menyembunyikan sesuatu kepada anda - tetapi bahasa badan tidak akan berbohong!. Semakin berumur seseorang, biasanya mereka akan lebih matang di dalam melihat bahasa badan seseorang. Oleh sebab itu biasanya orang yang lebih dewasa atau orang tua lebih jelas untuk menilai seseorang. Kemahiran tersebut diperolehi dari pengalaman mereka di dalam hubungan dengan ramai orang.

Untuk lebih mahir dengan bahasa badan, kita tidak boleh hanya bergantung kepada pengalaman dan ianya perlu ditambah dengan ilmu yang dipelajari. Bila anda sudah mahir dengan ilmu bahasa badan, ianya merupakan suatu ilmu yang cukup berguna kepada anda. Orang boleh bercakap apa sahaja tetapi jika bahasa badan tidak selaras dengan kata-kata, kita hanya akan mempercayai bahasa badan mereka kerana bahasa badan tidak pernah berbohong.

Bahasa badan bukan merupakan ilmu mistik yang boleh membaca apa yang ada di dalam fikiran orang lain tanpa sebarang asas yang kukuh, sebaliknya ianya merupakan ilmu pemerhatian terhadap bahasa badan seseorang, di mana setiap pergerakan badan, suara, pandangan mata, memek muka dan sebagainya mempunyai maknanya yang tersendiri. Setiap perbuatan atau pergerakan angota badan mempunyai sebab dan maknanya yang tersendiri. Seperti kata perpatah "ada matahari, ada bayang", "kalau tidak ada angin, masakan pohon bergoyang?" dan sebagainya. Perpatah tersebut menyatakan bahawa setiap perbuatan mempunyai makna atau erti yang tertentu dan makna atau pengertian tersebut itulah yang kita ingin tahu.

Mempelajari bahasa badan dan memahami apakah yang sedang difikirkan oleh seseorang bukan bermaksud untuk memanipulasi seseorang dan ianya bergantung kepada niat kita. Jika kita berniat baik, maka baiklah jadinya dan jika kita berniat buruk, maka buruklah kesannya. Memerhati dan memahami bahasa badan boleh diumpamakan seperti memerhati burung dan setiap pemerhati burung mungkin mempunyai niat yang berbeza. Bagi pemburu, mereka memerhati burung mungkin kerana hendak menembak burung tersebut. Manakala bagi seorang yang peminat alam semulajadi, mereka memerhati burung sekadar untuk mengkaji dan memerhatikan keindahan ciptaan Tuhan.

Prinsip Asas

Tidak boleh membuat kesimpulan dengan hanya melihat kepada satu petunjuk. Di dalam kita belajar dan memerhati bahasa tubuh orang lain, ini merupakan prinsip yang sangat penting untuk diingati. sebelum membuat kesimpulan tentang apa yang sedang bermain difikiran rakan bicara anda, mestilah kita melihat gugusan petunjuk sebelum membuat kesimpulan. Kesalahan membuat analisa atau kesimpulan merupakan suatu perkara yang sangat buruk dan memalukan diri kita sendiri, selain itu kita berlaku tidak adil kepada orang lain. Kemahiran di dalam mempelajari bahasa tubuh sepertimana dengan ilmu atau kemahiran yang lain juga, ianya memerlukan latihan yang banyak dan secara berterusan.